Satu artikel yang membuatkan ana terkedu seketika.
Walaupun diambil dari Dakwah-Info, tapi bernilai
untuk dikongsi bersama-sama.. Terutamanya bagi
mad'u2 ana sekalian.
Kita sama-sama masih teringat ketika kita mula-mula
bertemu. Tidak ada yang lebih berbahagia di dalam hati
ini selain melihat wajah-wajah ceria pelajar-pelajar
baru yang begitu bersih dapat menjejakkan kaki ke
sebuah pusat pengajian. Memang ayah bonda
menginginkan suatu yang terbaik buat mu. Mahukan
kalian menjadi orang yang terpelajar dan berguna
kepada mereka, kepada agama dan kepada negara.
Ketika hari pendaftaran, kami sama-sama turun
padang untuk menolong kalian. Kalian adalah ibarat rahmat
kepada kami kerana dari kaliannya kami mendapat
ketenangan dan kesejukan hati. Bagaimana..? akan kami
ceritakan segala-galanya nanti!
Kemudiannya kalian di heret ke sana kemari dengan
minggu pengenalan. Kalian didedahkan dengan apa yang
ada ditempat belajar yang baru ini. Moga kalian dapat
berta’aruf dengan cepat di alam baru ini. Kalian
bersolat jamaah bersama-sama. Kalian di
dudukkan di dalam LDK dan kalian akhirnya menjejakkan
kaki ke malam terakhir pengenalan.
Kami masih mengintai-ngintai kalian. Bukan wajah dan
gaya… tetapi watak dan budi. Manakah di antara kalian
yang akan bersama kami? Manakah di kalangan kalian
yang akan mewarisi jejak kami?
Memang kami mengentahui dan menyedari.. kalian datang
dengan keinginan yang berbeza. Ada yang ingin mendapat
segulung sijil yang nantinya akan dipersembahkan
kepada ibu dan ayah. Ada yang tertolak kerana ayah dan
ibu menghendaki demikian. Kami faham itu semua… dan
itu semua tidak langsung penting bagi kami.
Kalian didudukkan di dalam usrah-usrah akhirnya. Kita
sama-sama saling mengenal, mendengar dan memberi.
Bercerita dan membaca. Berbincang dan bermesra.
Bukankah itu satu titik permulaan yang indah dalam
pengalaman hidup kita?
Kita kemudian bertemu lagi dalam tamrin dan dauroh.
Duduk dan mendengar.. makan dalam dulang bertemu
kepala. Kemudiannya tidur diatas lantar tanpa
hamparan. Kesemuanya menjadi detik manis dan kenangan
yang mungkin sukar dilupakan.
Dari situlah kesemuanya bermula… Kami memerhati dan
cuba mengenal. Siapakah dari kalangan kalian yang sudi
untuk bersama lebih memahami apa yang sedang kami
fikirkan?
Kami hanya ingin mengongsi beban yang sedang kami cuba
pikulkan selama ini. Kami faham ianya begitu berat dan
tidak mampu ditanggung oleh hanya dua tiga kerat
manusia yang lemah seperti kami. Bebannya berat dan
perjalanannya panjang. Hasilnya belum tentu diperolehi
di masa terdekat.
Kami berfikir dan berfikir … bagaimanakah cara terbaik
untuk mengenali siapa dari kalian yang berminat. Kami
adakan usrah… kami adakah tamrin dan kami adakan
dauroh.. kami adakan mukhayyam… dan entah apa lagi.
Semuanya adalah kerana cuba mengenali kalian..
disamping untuk memberi sedikit sebanyak kesedaran dan
ilmu.
Akhirnya …
Kami telah dikurniakan Allah dengan kalian. Kalian
menampilkan diri dengan semangat dan kesediaan untuk
bersama. Kami begitu gembira. Kami tidak meminta
kalian berbuat demikian. Sedikitpun tidak ingin
memaksa. Kami hanya membuka jalan dan peluang setelah
memberi kesedaran sedikit sebanyak. Alhamdulillah atas
segala nikmat dan rahmatNya kepada kita.
Bermulalah satu episod baru dalam hidup kita. Mungkin
kita masih ingat kita mula menjejakkan kaki ke alam
baru.. fikrah baru dan ikatan baru. Kalian telah
berjaya memujuk hati kalian untuk bersama dalam
gerombolan ini. Gerombolan yang ingin untuk melihat
dunia berubah ke arah Islam.
Kita mula tangkas melayari perjalanan yang sengit ini.
Kita cuba menumpaskan nafsu yang kadangkala mengganggu
dengan cerita indahnya hidup relaks dan seronok. Tapi
kalian telah berjaya menolak itu semua. Walaupun kawan
dan teman lain telah lama dibuai mimpi, kalian
kadangkala masih termangu di hadapan kami.. menadah
buku dan sedikit risalah. Segalanya hanya untuk
memahami Islam yang masih banyak yang perlu
dipelajari. Kadangkala teman seronok dihadapan cerita
TV dan VCD, tetapi kita menolaknya itu semua.. kerana
masa amat berharga bagi kita untuk dibazirkan pada itu
semua.
Kadangkala kawan-kawan enak tidur ditilam empuk
asrama, tetapi kita terpaksa berjaga malam di
mukhayyam hanya semata-mata untuk melatih diri
bagaimana indahnya dapat berkorban untuk sahabat yang
sedang tidur di lantai bumi.
Betapa banyaknya pengalaman yang kalian telah lalui
bersama kami !
Kami cuba memberi apa yang kami terdaya.
Segala-galanya adalah untuk menjadikan kalian orang
yang bermanfaat untuk Islam. Kami merasa kasihan
kepada Islam yang masih menagih cinta dan pengorbanan
dari penganutnya. Islam masih terumbang ambing
dicampak dan diheret oleh manusia liar. Islam yang
sepatutnya tinggi masih digilis-gilis dan dipijak
ganas untuk manusia zalim. Siapa yang ingin
membelanya? Siapa yang akan meletakkannya ke tempat
paling tinggi yang sepatutnya.
Inilah yang kami cuba lakukan. Alhamdulillah, kalian
mula sedikit demi sedikit memahami apa yang kami ingin
kongsikan. Walaupun kami kadangkala tidak dapat
berehat sebagaimana orang lain… tetapi ketenangan mula
menjenguk.. ketika melihat kalian mula faham dan mula
melangkah. Denyut nadi perjuangan kalian yang mula
bergerak-gerak sudah cukup menggembirakan kami… lebih
gembira dari sang musafir yang terjumpa kembali
untanya yang hilang di padang pasir !
Tentu kalian masih ingat itu semua. Kalian bagi kami
adalah lebih mahal dari dunia dan isinya. Kalianlah
sumber pahala kami di zaman ketandusan pahala dan
bermaharajanya dosa dan maksiat. Bukankah ‘Allah
memberi petunjuk seorang manusia dengan hasil usahamu
adalah lebih baik dari dunia dan isinya’?. Kerana itu
kalian semua lebih mahal bagi kami dari segala harta.
Mungkin dari situlah kalian dapat faham, bagaimana
susahnya kami kerana menjaga kalian. Betapa banyaknya
harta yang kami curahkan kerana kalian. Betapa kami
terpaksa melupakan masa rehat dan hujung minggu untuk
kalian. Betapa kami sudah tidak mempunyai apa-apa lagi
yang dapat kami berikan kepada kalian semua… semuanya
telah diberikan. Mungkin sekarang kalian telah dapat
fahami. Kerana kalian lebih berharga dari dunia dan
isinya !
Sukar kami menceritakan ini semua… terpaksa dan semoga
ianya menjadi pedoman untuk kalian juga. Bahawa hidup
seorang yang tahu di mana Islam berada sekarang tidak
memungkinkannya sempat membina istana dan mahligai.
Tidak memungkinkannya bergembira di setiap hujung
minggu dengan anak isteri. Tidak mungkin berpeluang
untuk menikmati hari-hari perlancongan dan santai
tanpa matlamat dakwah. Tidak mungkin berenak dengan
kenderaan besar dan mewah. Bagaimana ia boleh berbuat
demikian sedangkan Islam masih menunggu pendokong yang
akan menyelamatkannya?
Kerana memahami itu semua, kami wakafkan diri kami
untuk kalian. Biarlah manusia lain dengan dunianya..
namum kita tenang dan gembira dalam alam kita sendiri.
Walaupun orang lain melihat kita dalam kesukaran dan
kesusahan hidup, namum itulah kebahagian kita !
Matlamat kami.. melahirkan kader-kader yang akan
bekerja untuk Islam. Keinginan kami.. apabila kalian
telah melangkah keluar dari sini.. kalian telah
menjadi manusia muslim baru yang membawa bersama-sama
obor yang akan menyuluh tempat-tempat yang masih gelap
di pelusuk sana. Itulah sahaja matlamat dan cita-cita
kami.
Kami tidak mampu memberi kalian kerja yang bergaji
mahal. Kami tidak sanggup menjanjikan jawatan selepas
kalian keluar. Itu semua adalah suatu yang kerdil bagi
kami. Ianya mampu dicari oleh sesiapa walau bagaimana
keadaannya sekalipun. Yang lebih penting dari itu
semua ialah kami tidak mahu kalian tenggelam di dalam
kancah dunia yang sedang bergelumang dengan
materialisma yang tidak mampu diharungi oleh manusia
biasa. Kerana itulah kami cuba bekalkan kepada kalian
dengan kekuatan dan kefahaman. Lebih dari itu, kami
mahukan kalian menjadi manusia yang akan membawa
manusia lain untuk bersama-sama dalam perjuangan kita
yang masih panjang.
Kami cuba sedaya upaya untuk mengajak kalian memahami
bahawa apa yang kita buat ini bukan kerana tempat
belajar kita. Bukan kerana wajib atau ingin menjaga
hubungan dengan pensyarah. Bukan kerana markah atau
prestasi. Kami cuba memotong tali-tali yang mengikat
kalian dengan itu semua. Kami membawa kalian ke luar
sana… berjumpa dengan mereka yang telah mendahului
kita di atas jalan ini. Melangkah ke luar negara..
berjumpa dan mengambil pengalaman mereka. Mereka semua
adalah se jalan dengan kita.. berjuang menegakkan
fikrah yang sama!
Perit letih kami tidak sia-sia. Kalian mula melangkah
ke garisan-garisan akhir bersama kami dengan sabar dan
tekun. Kalian langsung tidak menunjukkan rasa jemu dan
bosan. Walaupun telah ada dikalangan kalian yang telah
kecundang setelah beberapa lama, namum kalian masih
thabat teguh. Kalian mula faham bahawa kerja kita
perlukan disiplin yang tinggi. Kerja kita perlukan
jamaah dan ketaatan. Kerja kita perlukan syura dan
perbincangan dengan naqib/naqibah yang telah begitu
lama memimpin tangan kita sejak kita masih
bertatih-tatih di permulaan perjalanan. Kerja kita
memerlukan kita tidak putus dan bersama dengan jamaah
di mana saja kita berada.
Di saat berpisah, itulah harapan kami. Gembiranya hati
kami melepaskan kalian menuju ke destinasi
masing-masing. Betapa inginnya hati kami untuk
mendengar deringan telefon dari kalian.. menceritakan
pengalaman baru kalian di kampung dan kawasan
masing-masing. . setelah mendapat title baru bergelar
‘DA’I’. Betapa tak sabarnya kami ingin menatap tulisan
dari kalian .. bercerita bagaimana kalian telah mula
mengumpul mad’u-mad’u baru ditempat kalian. Betapa
gembiranya kami nantinya mendengar kalian mula ke
sana-kemari mengikuti program bersama ikhwah dan
akhawat di tempat baru kalian. Kami tidak dapat
bayangkan bagaimana gembiranya hati kami bila
mendengar naqib/naqibah baru kalian begitu memuji
kesungguhan dan semangat yang kalian tunjukkan. Ketika
itulah kami akan mengurut dada gembira… airmata kami
berlinangan kegembiraan. . betapa tanaman kami telah
menghasilkan buah. Usaha kami selama 3 tahun kalian
bersama tidak sia-sia !
Hari berganti hari.. kami di sini terus dengan
kesibukkan melayan adik-adik kalian yang terus tiba
semester demi semester dan cuba untuk menjadi pelapis
kepada kalian. Mereka bersemangat untuk meneruskan apa
yang telah dilakukan oleh kalian. Mereka masih ingat
ketika kalian bersama-sama mereka di usrah, tamrin,
dauroh dan mukhayyam. Mereka masih ingat.. kalianlah
yang mendidik mereka dan mengasuh mereka sedikit
sebanyak. Kami terus membantu mereka sekadar kemampuan
kami ini.. agar mereka menjadi seperti kakak-kakak dan
abang yang telah tamat belajar.
Hari terus berganti… kami masih menunggu sepucuk
warkah atau sedering telefon… atau sepatah salam dari
musafir yang pulang. Namum bayangan masih kelam.
Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Hati
kami mula bimbang. Apakah yang telah terjadi kepada
anak-anak kami yang telah pergi?
Kami mula bertanya kepada musafir yang lalu… atau
kepada ikhwah dan akhawat yang berjiran.. dimana
anak-anak kami.. pernah terdengar ke si anu dan si
anu? Jawapan negatif membimbangkan kami tentunya.
Kini beberapa bulan berlalu sepi tanpa berita. Bagi
kami.. cukuplah tempoh yang bernama bulan untuk
menghancurkan sedikit semangat dan pegangan kita. Hati
kita sentiasa di intai syaitan. Tidak ada manusia yang
boleh mendakwa dia akan kuat tanpa jamaah. Tidak akan
ada kambing yang keseorangan yang tidak di makan
serigala.. kerana memang serigala ada
di mana-mana. Paling kurang kita akan mula hilang
ketajaman sensitif terhadap matlamat kita. Kita sudah
boleh mulai lupa tujuan dan halatuju hidup dan
perjuangan kita. Suatu yang begitu membara di dalam
hati kita ketika kita bersama dulu mula pudar dan
tinggal dingin.
Satu demi satu berita kami terima mengenai hal kalian…
jika ketika berpisah kami menjangkakan kami akan
menitiskan airmata kegembiraan mendengar ketangkasan
dan keaktifan kalian… tetapi … titisan sebaliknya mula
mengalir..
Apa yang telah terjadi kepada kalian?
Apa yang telah kalian lakukan?
Kami mula sebak… ketika huruf-huruf ini disusun, kami
tidak dapat menahan air mata lagi. Bersama baris-baris
yang keluar… kami iringi dengan cucuran yang tidak
dapat ditahan..!
Ianya bukan satu buatan. Ianya bukan rekaan satu
cerita dan cerpen. Ia adalah satu kenyataan yang telah
berlaku beberapa ketika lalu dan… air mata ini masih
panas. Ianya adalah perasaan sayu kami bila harapan
telah mulai berkecai. Satu demi satu harapan bangunan
yang kami bina dan kami atur batu bata negara Islam
dan khalifah yang kami inginkan berantapan jatuh di
hadapan kami. Kalau dahulu kami harapkan kalian akan
menjadi tangan-tangan yang akan bersama-sama
mengangkat batu batu yang lebih berat dan menjadi
pembina bangunan ini… kini segalanya hampa.
Tanpa kami sedari, ada di kalangan kalian yang mungkin
terasa amat gembira terlepas dari alam kita. Ada yang
merasakan dunia dakwah suatu yang menghimpitnya. .
suatu yang mengurungnya. Barulah kami sedari rupanya
selama ini, itu semua adalah sebuah lakunan.
Ada antara kalian rupanya sudah tidak ingin lagi
bertemu muka dengan kami. Rupanya dulu kami adalah
penyibuk yang mengganggu hidupnya. Sekarang dia telah
bebas.
Kami mula kecewa… kami mula berfikir.. apakah dosa
kami. Kami hanya menghulurkan tangan untuk memimpin
kalian mengenal sedikit tanggungjawab kita semua..
tanggungjawab dakwah dan amal Islam. Kami gembira
kerana sebelum kalian keluar.. kalian telah memahami
itu semua.. tetapi sekarang kenapa ini semua tiba-tiba
berlaku?
Kalian datang ke sini… tetapi muka kamilah orang yang
paling tidak ingin di lihat dan ditemui. Apakah kalian
telah mencampakkan kasih sayang yang telah kami
berikan selama ini. Apakah muka kami begitu buruk
untuk dilihat? Apakah suara kami begitu menyakitkan
untuk disapa?. Jika kalian datang dari jauh kerana
sesuatu subjek dan untuk mengutip markah bagi sekeping
sijil, apakah pelajaran-pelajaran yang sama-sama kita
pelajari di usrah dan dauroh sudah tidak bernilai dan
tidak berharga? Atau apakah kalian telah melayakkan
diri untuk dipanggil anak derhaka?
Kalian segera berlepas pulang. Kami hanya mendengar si
anu telah datang. Tanpa sepatah salam kami terima,
mungkin ia terlalu mahal untuk dikirim. Tiada helaian
kertas ditinggalkan. . mungkin dakwat pena terlalu
berharga untuk dicoretkan.. Kami hanya mendengar
dengan hiba dan air mata mengalir lagi.
Masa berlalu… dan kami mula berfikir sendirian. Mereka
terlalu sibuk. Mereka ada urusan sendiri. Mereka
sedang masuk ke alam kerja. Walau ada di kalangan
mereka kami bantu untuk meneruskan kehidupan mereka…
mencarikan mereka kerja dan tempat pengalaman. Namum
setelah berjaya .. sepatah perkataan pun tidak
didengari. Mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan.
Alhamdulillah. Kami sekali lagi menjadi hampas yang
dicampakkan ke tong sampah!
Kami tidak inginkan pembalasan. Kami tidak pahala dari
kalian. Cukuplah Allah sebaik-baik pembalas. Apa yang
ada di sisi Allah adalah lebih baik dan kekal. Kami
akan tetap begini hingga ke akhir hayat.. selagi Allah
masih memberikan kekuatan. Kerja kami ialah mengumpul
tenaga-tenaga orang seperti kalian, memberi sedikit
sebanyak ilmu dan kefahaman, mendidik apa yang terdaya
agar ada tenaga baru untuk Islam.
Kami tidak inginkan harta kalian, tidak perlu kepada
pujian dan sanjungan kalian. Tidak berhajat ingatan
dari kalian, tetapi kami hanya mahu mendengar kalian
telah menyambung dan menjadikan kerja Islam sebagai
sebesar-besar tugas. Kami hanya mahukan dari kalian
menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang telah mati. Itulah
tanda kesetiaan kalian terhadap kami. Sebenarnya itu
adalah janji kalian kepada Allah bila kalian berjanji
untuk bersama kami. Allahlah yang akan menuntut
janjiNya dari kalian.
Ketika kami mendengar ada di antara kalian mula
terlupa atau melupai tugas ini, maka kamilah orang
yang mula-mula menangis. Kalian tentu faham bahawa
tanda awal ialah bila kalian tidak lagi bersambung
dengan jamaah. Bila ada antara kalian yang merasakan
kalian mampu hidup sendiri, kalian sebenarnya kalian
telah silap. Hidup sehari tanpa jamaah dan tanpa kerja
Islam bermakna kalian telah meranapkan harapan kerja
besar kita. Dan tanda awal putusnya kalian dengan
jamaah ialah bila kalian sudah tidak mempunyai naqib
dan usrah. Tanda awalnya apabila kalian telah mula
membelakangkan naqib/naqibah dalam membuat keputusan
dalam hidup kalian. Apakah kalian merelakan diri
kalian untuk menjadi peranap kepada cita-cita Islam
kita.? Apakah kalian tidak takut kepada balasan Allah
bagi mereka yang meninggalkan tugas ini?
Biarlah kami berhempas pulas di sini.. berhujan
berpanas dan berembun. Mengorbankan masa rehat dan
wang ringgit kami demi melahirkan orang seperti
kalian. Biarlah kami terus begini… walaupun kami tahu
mereka semua juga mungkin akan menjadi seperti kalian.
Biarlah kami terus berusaha .. melahirkan anak-anak
yang akan menderhakai dakwah dan tanggungjawab Islam!
Ingatlah.. kerja ini bukan hanya dengan angan-angan
dan azam semata. Cukuplah kalian layak dipanggil anak
derhaka bila dakwah dan amal Islam hanya menjadi angan
dan azam. Betapa ramainya orang yang mampu berangan
dan berazam seperti kalian ! Tapi dimana usaha dan
curahan tenaga? Siapa yang akan ke medan, menarik
tangan-tangan manusia yang sedang hanyut jika semua
hanya berangan dan berazam untuk menarik? Alangkah
mudah berangan dan berazam!
Bebanan perasaan yang kami pikul sebenarnya lebih
berat dari bebanan tugas ke sana ke mari mengendali
program dan mendidik kalian. Apa sangat berat berjaga
malam, membelanjakan ringgit dan berceramah dan
mendengar masalah kalian jika hati kami gembira
melihat hasilnya. Apa sangat itu semua jika hati
bahagia melihat kalian menjadi orang yang akan
mewarisi kerja yang telah kami buat. Kesemua berat dan
beban hilang dan tak mungkin terasa setelah melihat
kalian telah menerangkan bumi yang gelap seluruh
pelusuk bumi.
TETAPI…
sekarang kami telah kehilangan segala-galanya.
Ketenangan yang kami ingin cari melalui pengorbanan
ini telah juga hancur. Bahkan ianya lebih berat dari
bebanan fizikal dan material. Kami telah melalui
beberapa generasi kalian. Pengalaman akhirnya
menyimpulkan kepada kami bahawa kami hanyalah manusia
tak berguna dan pengganggu dalam hidup kalian.
Ketenangan hati yang kami ingin hirup dari usaha
mentarbiyyah kalian hanya menambah luka yang telah
ada… Apakah kalian sedar?
Kami iringi kalian dengan doa dan airmata. Pergilah
kalian dengan sijil yang telah diperolehi dari sini
untuk menjenguk dunia yang tiada bertepi. Harungilah
hidup demi mencari ketenangan dan kebahagiaan melalui
jalan yang kalian pilih sendiri. Kami tetap memilih
ketenangan dan kebahagian melalui jalan kami sendiri.
Walaupun kalian telah melukai hati kami… kami hanya
akan menyalahkan diri kami sendiri. Mungkin kamilah
yang menyebabkan kalian jadi begitu. Mungkin kami
belum memberikan yang terbaik untuk kalian. Mungkin
kami belum mengorbankan apa yang sepatutnya kami
korbankan. Mungkin.. kami lah yang bersalah.!
Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Kami tidak
mengharapkan kepada kalian lagi. Jika kalian mahu
terus hidup sebagaimana manusia lain… teruskanlah.
Bahkan jika kalian mahu menjadi manusia yang jauh
berlainan dari kami… teruskan. Moga Allah mengampunkan
kami dan kalian. TAPI ingat ! Dakwah tidak memerlukan
kalian untuk hidup. Dakwah adalah satu yang kuat dan
kukuh kerana ia berhubung dengan Allah Yang Maha
Perkasa. Kitalah yang memerlukan dakwah. Dakwah boleh
bersama orang lain jika kita enggan. Tatapi apa
ertinya hidup kita tanpa dakwah? Dakwah adalah nyawa
dan roh kita. Jika kita berpisah darinya…. Kita
sebenarnya telah mati ! Kita akan terkulai layu ibarat
bunga yang telah dipetik dari pokoknya !
Tinggalkanlah kami menangisi anak-anak yang telah
pergi. Anak-anak yang telah mencampakkan kasih sayang
yang cuba kami hulurkan. Mungkin cinta kami tidak
seindah dunia yang menunggu diluar sana. Biarlah cinta
itu dikutip oleh manusia lain yang tahu menilainya.
Apakah kalian tidak mengerti ini semua… apakah cinta
kami tidak bermakna untuk kalian. Adakah ianya terlalu
murah. Kami berkorban untuk kalian lebih dari anak dan
saudara kami sendiri, kerana bagi kami tali akidah dan
fikrah lebih kukuh dan erat dari tali kekeluargaan.
Kalian lebih kami sayangi dari saudara sedarah daging
dengan kami. Kami berikan apa yang terbaik apa yang
kami ada. Kerana kami tahu.. kalian adalah penerus
generasi da’I yang hampir pupus. Apakah kalian tidak
merasainya?
Memang kami tidak memberikan makanan yang mahal-mahal
untuk kalian. Kami tidak membelikan pakaian indah
untuk kalian. Tetapi apa erti makanan dan pakaian jika
kalian hanyut di alam sesat jahiliyyah.. ?
Hayatilah kata-kata Imam al-Syafie: "manusia
sebenarnya ialah yang merasai kecintaan yang diberikan
kepadanya walaupun sebentar".
Berapa lamakah kecintaan yang telah kami berikan
kepada kalian… apakah kalian tidak merasainya?
Kalian melihat kami tersenyum… ye.. senyuman yang kami
buat-buat untuk mengubat rindu kepada kedamaian
semalam yang telah tiada lagi. Senyuman untuk
menandakan kami masih mampu berlakun dengan hati yang
telah disiat-siat. Berilah senyuman kepada kami,
hulurkan tangan kalian untuk kami salami…. Tetapi hati
ini tidak mungkin terubat tanpa penghayatan dan
penunaian janji yang telah sama-sama kita buat semasa
kita di sini!
Cukuplah… kami hanya akan bersama dengan yang memahami
dan merasai cinta kami. Bagi mereka yang mempunyai
kekasih lain… pergilah.. semoga kekasihnya akan
memberi kebahagian dan ketenangan untuknya. Bagi kami…
di jalan dakwahlah kasih awal dan akhir kami.
Jika kami sendiri futur akibat apa yang telah kalian
lakukan, maka bersedia kalian untuk menerima sahamnya.
Kalian telah mengecewakan kami sedikit sebanyak.
Kalian telah menyebabkan kami tidak percaya lagi
kepada manusia… hingga sampai satu ketika.. kami
merasakan sudah tidak wujud lagi harapan di dunia ini.
Apa tidaknya.. keseluruhan anak-anak kami tidak dapat
meneruskan usaha kami? Jika itu yang berlaku kepada
yang awal… maka bukankah sama pada yang akhirnya?
Tolong … jangan jadikan kami futur.. berilah harapan.
Moga adik-adik kita di sini dan di luar sana dapat
menghirup sedikit dari limpahan cahaya Ilahi yang kita
sama-sama tidak ingin padam. Ameen.
0 comments:
Post a Comment